Penubuhan UiTM Cawangan Sabah

frames

Di negeri di bawah bayu, kampus cawangan sulung Universiti Teknologi MARA telah pun mula bertapak pada 16 Julai 1972 di pekan Sembulan, tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu. UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu (kampus utama di negeri Sabah) pada awal penubuhannya lebih dikenali dengan nama Yayasan Sabah – Institut Teknologi MARA atau singkatannya YS-ITM. Pembukaanya bermula hasil usaha dan kerjasama di antara Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah. Kampus sementara yang terletak di kawasan Sembulan mula beroperasi dengan pengambilan kumpulan pertama pelajar pada bulan Julai 1974. Kuliah di institut ini bermula pada tarikh 28 Julai 1974 dengan pengambilan pertama kumpulan pelajar seramai 157 orang. Kampus ini kemudian dibuka dengan rasminya pada 16 Ogos pada tahun yang sama oleh Ketua Menteri Sabah pada ketika itu iaitu Tun Datu Hj Mustapha bin Datu Harun.

Melihat kepada keperluan yang lebih luas bagi penyediaan ruang pendidikan tinggi kepada anak-anak muda khususnya bumiputera di negeri ini, perancangan dan pembangunan fizikal kampus tetap baharu yang lebih lengkap di Kuala Menggatal telah dimulakan pada Februari 1979. Pembinaan kampus tetap ini dimulakan dengan Istiadat perletakan batu asas oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah pada ketika itu iaitu Tun Mohamad Adnan Robert pada 24 Februari 1979. Pada tahun 1982, kampus tetap di Kuala Menggatal telah siap dibina dan mula beroperasi. Sebahagian besar populasi pelajar telah dipindahkan ke kampus tetap yang berada di Kuala Menggatal setelah pembinaan blok asrama dan kemudahan-kemudahan lain selesai dibina. Proses perpindahan berakhir pada Disember 1991 hingga ke Januari 1992 dan kampus ini beroperasi sepenuhnya di Kuala Menggatal, iaitu suatu penempatan sub-bandar pesisir tepi laut serta hujung muara sungai di kawasan pinggir bandaraya Kota Kinabalu.

Pada awal penubuhannya sehingga penghujung tahun 1996/awal tahun 1997, UiTM Kampus Tawau telah beroperasi di Bangunan MAA, Jalan Bunga Raya, Tawau. Pada tahun 1997, UiTM Kampus Tawau telah berpindah dan beroperasi di Bangunan Hup Foh, Bandaran Baru, Jalan Baru Tawau.

Pada 10 Jun 1997, satu lagi kampus UiTM Cawangan Sabah, iaitu Kampus Tawau telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Mohd. Najib Bin Tun Razak, Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu. Kampus yang telah mula beroperasi pada Disember 1996 ini kemudian diisytiharkan sebagai Kampus Kota dari segi perlaksanaan operasinya bersempena majlis perasmian tersebut. UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau sehingga kini merupakan “Feeder Campus” untuk kursus-kursus diploma yang ditawarkan oleh UiTM seluruh Malaysia khususnya UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu.

Seiring dengan usaha kerajaan untuk meingkatkan akses pendidikan tinggi yang lebih luas dengan fasiliti dan persekitaran yang kondusif, sebuah kampus tetap UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau yang terletak di Batu 26, Jalan Apas, Balung, Tawau telah mula dibina pada Mac 2009. Perletakan batu asas telah disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak (Menteri Pendidikan ketika itu) iaitu pada tahun 1999. Pembinaan kampus tetap ini kemudiannya telah siap pada Oktober 2011. Semenjak itu dan sehingga kini, UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau telah beroperasi di kampus tetapnya di Balung, Tawau dan telah berjaya menghasilkan alumni-alumni bumiputera yang lahir daripada program-program pra pendidikan tinggi atau pun lebih dikenali dengan program pra diploma UiTM.